Saturday, October 6, 2012

adakah perlu ditolak atau ditarik

.




Assalamualaikum...


Seteguk demi seteguk kopi panas ku hirup.. Padahal ulser masih tegar menyewa dicelah lidah..Argh.. sakit saban hari , menutur kata lagi kan payah apatah lagi mengunyah makanan..Alhamdullillah hari demi hari yang hampir dua minggu ulser semakin hilang.. Lepas nie boleh makan dengan kadar maksimum..


Tatkala mata terpana pada pintu bilik justeru timbul kisah yang membuka mata hatiku.. Perjalanan rutin yang biasa kita lalui namun bagiku ia ada kisah yang tersembunyi.



Aku berjalan dengan Puan Arisita ..Tiba tepat di depan pintu puan Arisita membuka kunci pintu ..ditolak tolak dengan penuh semangat sambil memulas tombol pintu..Cubaan pertama masih tidak menampakkan hasil..Cubaan kedua tetap sama.. cubaan ketiga ..tombol pintu dipulas dan puan Arisita menarik daun pintu... Kedua kami berpandangan.. tergelak kencang ..


"Kitak bena juak , Pintu ditarit keluar bukan di tolak... nie lah dapat" sambil tergelak puan Arisita menutur tiap baris kata ... (awak betul jugak, Pintu yang ditarik tapi ditolak manalah dapat)


aku... hanya tergelak...


Dan sebegitu jua lah kehidupan nie..kadang kita asyik menolak nolak untuk mendapatkan sesuatu padahal bila kita melepaskan tolakan itu pasti sesuatu itu akan datang.. Boleh jadi sesuatu itu datang dari tempat yang tidak kita duga... disekeliling kita yang hampir setiap hari kita melalui nya.. dan kadang kadang jua kita perlu menarik dari menolak.. Bagaimana pula hendak menariknya dalam kehidupan.. Jawapan ku mudah.. kau iklhas kepada ALLAH .. ALLAH akan berikan cintanya kepada mu..


Sekuat mana pun kita berusaha jika sesuatu itu datang dari laluan dan cara yang bertentangan semesti nya segala galanya sia..


Pabila mengenangkan semua ini. Terasa begitu kerdil diri aku di sisi ilahi. Banyaknya dosa yang menggunung. Terlalu kecil jasa dan pahala yang kulakukan.  Setiap orang diuji dengan cabaran yang berlainan.Mohon kita restu keinsafan daripada yang KHALIQ. Andai kita tahu, betapa besarnya rahmat tuhan itu, pasti ramai yang mengucap syukur nikmat Tuhan sepanjang masa. Semoga aku diizinkan menjadi insan yang lebih baik daripada yang dulu.Bukannya menyimpang jauh dari diriMu. Kerna itu jualah aku akan melihat dahulu dari bertindak terus.. adakah perlu ditolak atau ditarik...


Mengapa ya, semua perkara yang berkait rapat belakangan ini seperti mahu membuatkan aku menangis terharu. Sudah lama aku tidak menangis hiba. Arghh beginilah menjadi seorang yang begitu Melankolik.


Diri ini merancang dgn cita cita tapi Allah merancang dgn Cintanya.. Aku amat terkesan dengan kata kata ini..





.



Thursday, October 4, 2012

Aku rindu gelaran Cikgu.

.



Assalamualaikum...

"Cikgu , Cikgu "

Disebuah kedai berlari seorang gadis menghampiri ku , Alangkah terkejutnya aku .. Panggilan itu dituju terus kepada ku.. Padahal panggilan itu sudah lama hilang dalam hidup ku.. beberapa tahun sebelum ini aku pernah menjadi tenaga pengajar membina laman blog di daerah Serian dan Samarahan (sarawak).. Setiap pelajar yang aku ajar akan ada sesetengah dari mereka memberikan aku gelaran Cikgu selebih nya akan memanggil aku encik , Sir atau abang..  Dari yang kecil nya sehinggalah ke peringkat umur yang boleh aku gelar pak cik dan mak cik..

Tahun yang berlalu tidak pernah luput gelaran Cikgu diminda mereka.. 

Betapa bermakna nya gelaran Cikgu itu pada ku.. Dan kekadang panggilan itu membuatkan aku kepingin gelaran Cikgu.. Sebahagian kecil dari jiwa ku teruja menjadi warga pendidik..


Seandainya 10 tahun dari sekarang pantai ini boleh berubah, tahukah kita apa yang tidak berubah sampai kiamat?

Pukulan ombak  tidak akan berhenti, hatta sehingga hari kiamat.


Buat mereka yang bergelar guru. Tekadkan semangat. Tabahkan hati. Perjuangan kita mendidik anak bangsa masih belum selesai. (terasa aku jua sebahagian dari guru..ehhehe)






.



Tuesday, October 2, 2012

Berbaloikah semua ini.

.



Assalamualaikum...


"Berbaloikah semua ini...?"

Pernah terdetik di hati, aku mahu mengalah. Mencabarnya melawan arus stereotipikal masyarakat yang tidak memahami. Melawan dasar pendidikan yang tidak membina nilai yang kita idam-idamkan.

Seketika. Hati yang rawan kadangkala mengusik. 
Masih bertanya lagi. 

" Berbaloikah semua ini..? "

Sejak dulu aku mengamati kehidupan. Kita sibuk dengan urusan dunia kita. Tanpa sedari kita lupa tentang bayu nyaman petang mengherot lalang ke sana-sini. Kita lupa galaksi yang luas terbentang atas kepala kita. Kita lupa remeh temehnya melodi katak berdengkang, burung mengicau dan kerbau menguak.

Kadang kita terasa marah untuk mendidik,manyampaikan (dakwah) .Kadang jua kita dikeji , dibaling kata hinaan. hingga satu ketika kita akan berasa "argh,biarlah .." Jika begitu..

Kita ingat begini sahaja, nabi-nabi terdahulu nak menyeru manusia mengikut seruan Allah pun lebih getir daripada apa yang kita buat. Bayangkan, ada anak nabi jauh daripada kesesatan, inikan anak ibu bapa di kampung. Anak nabi Nuh juga enggan naik bahtera. Anak dia sendiri. Bayangkan nabi Muhammad dibaling batu oleh seorang wanita hari-hari, akhirnya wanita itu memeluk Islam setelah rasulullah menziarahinya. Tapi, rasul kita sabar dan cekal. Kalaulah kita setabah nabi dan rasul kita... :)



Doakan aku tabah kerana belakangan ini aku menghadapi ujian demi ujian.









.



Sunday, September 30, 2012

Aku dan Bahasa

.



Assalamualaikum..


Saat terpandang tulisan cakar ku dihelaian daging buku yang parah ku siat siat membuatkan ku merenung kembali..Bagaimana aku terlampau taksub dengan bahasa. Sebenarnya aku tidaklah begitu minat dengan sastera. Tapi bilamana aku rasa kesepian aku gemar menulis . Bercakap seorang diri melalui tulisan di sang wadah madrasah ini. Tujuan nya untuk tatapan sendiri. Jika ada yang membaca , moga ada manfaat disetiap penulisan ku.. Dan jika ada yang memberi gumpalan komen itu berupa bonus bagi ku .. 

Aku akui ini adalah campur tangan dari ALLAH yang menemukan aku dengan cinta kepada bahasa.. Padahal jurusan ku Kejuruteraan elektrik . Tiada sebarang sesalan yang diungkapkan.. 


Malangnya, apabila dikenang zaman persekolahan apa yang kita tahu,hanyalah sibuk menghafal nota dan sibuk berhempas pulas semata-mata untuk peperiksaan.Kalaulah zaman sekolah kita ditanamkan minat berbahasa dengan cara yang berbeza dan unik, pasti ada perubahannya. Dan mungkin masa ini aku tidaklah sebegitu kerdil dengan bahasa . Dan bila aku membelek setiap buku buku bahasa .. Bagaimana beberapa perkataan telah ku kuburkan bersama masa. Semakin ku cedok ilmu itu semakin kuat rasa cinta tehadap bahasa. Kosa kata seperti jerayawara, kebejatan, menebak atau apa sahaja perkataan yang lain menambahkan kecintaan aku terhadap bahasa ini.Aku belajar untuk menyelami dunia buku dan novel bahasa Melayu yang selama ini telah lama aku tinggalkan.


Aku khuatir ada istilah yang bakal diluput zaman kalau tak diamalkan. Memanglah sesebuah perkataan tak berdampak besar terhadap manusia sejagat, tapi agak sayang bila ada satu istilah yang pupus. Sangat memalukan, bila ada orang asing yang menuntut di tanah kita dan menuturkan bait-bait indah dengan bahasa kita. 


Sistem kita terlalu menjurus kepada peperiksaan. Aku jarang menemui kawan yang begitu meminati untuk membaca buku. Ya, buku novel, fiksyen atau bukan fiksyen. Samada di sekolah, universiti semuanya sibuk mengelek nota dan buku kerja.  Apabila ditanya untuk menyenaraikan 5 senarai penulis buku yang memberikan impak dalam hidup mereka, aku pasti lepasan universiti akan terkelu . Dan sebegitu jua lah aku... Namun kehidupan ini ajaib..Aku mula mencintai bahasa kembali.


Tak sangka sejak akhir-akhir ini, kedatangan pengunjung ke Sang wadah madrasah agak mendadak, membuatkan aku ingin menulis sesuatu yang bisa difahami semua. Aku tak ingin dikata blogger yang kejam, mendera pembacanya dengan istilah pelik (entahlah, aku tak pernah menganggapnya pelik. Orang yang merasa pelik itulah yang memelikkan.)  Kerana itu, ada entri yang terkandung istilah agak janggal kita jumpa. Ada juga dengan istilah yang biasa kedengaran. Aku sedang melaras tara, antara kemahuan (minat) aku sendiri, dengan kehendak pembaca. Akhirnya aku korbankan kemahuan yang memuncak, agar semua orang bisa menikmati ilmu secara aman. Oh, sedih sekali. (haha. Aku meminta belas.)




Yang kurik itu kendi, 
Yang merah itu saga, 
Yang cantik itu budi, 
Yang indah itu bahasa.



.