Ramadhan terakhirku... Barangkali
Edisi imbas kembali...
"Datang beramai ramai ke konsert raya",
belum terasa lagi tamatnya bulan 5, aku sudah dikejutkan dengan iklan raya di TV3. Lantas mengingatkan aku semasa menuntut di Dongyang Technical College, South Korea
◘ ◘ ◘ ◘ ◘
Dalam kecoh gerabak keretapi, kecoh penghuni perutnya bersilih ganti, aku tetap terdiam. Duduk dihujung sudut, beberapa kerat kerat manusia berdiri sambil memaut palang.
Jari telunjuk pun berjalan, mengunjuk setiap baris baris kata Tuhan yang Esa (Al-Quran). Semuanya dibaca hati, tanpa sepatah pun bersuara. Walau anak mata bergerak rancak. Khalimah yang tercetak kadang membuat leher lenguh membengkok.
Sesampainya disuatu rangkap (bacaan ku punya pengertian 'arab ke melayu'), sekonyong konyong cetakan itu kian berkabus. Pandanganku berkaca kaca. Satu persatu manik cairan menghentam helaian yang sedang terbuka. Dengan pantas aku menggosok kelopaknya, aku meneruskan bacaan mengawal sesak didada, memaksa semua kabur pandangan tulisan ditancap mata.
~dan penghuni neraka menyeru penghuni syurga: "limpahkanlah kepada kami sedikit air atau makanan yang telah direzekikan Allah kepadamu", (mereka penghuni syurga) menjawab. "sesungguhnya Allah telah mengharamkan kedua duanya keatas orang kafir (Al A raaf 50)
Aku tersentak. Emosiku dibantut oleh sepotong tangan yang menghulur sehelai tisu. Suasana gerabak menjadi sunyi. Kesemuanya berwajah kasihan, melihat esak tangisku yang menghambat mereka.
Mungkin hari ini, nostalgia Ramadhan terakhir buat ku. Barangkali...
imaginasi fantasi
.
No comments:
Post a Comment