Wadah Madrasah Pengalaman: Kisah dan teladan wanita Islam : Saiditina Khadijah Binti Khuwailid


Sunday, March 16, 2014

Kisah dan teladan wanita Islam : Saiditina Khadijah Binti Khuwailid

.
”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. 
Dia membenarkanku
di saat semua orang mendustakanku. 
Dan dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika
semua orang menahan hartanya dariku 
dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya
yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”. 
 [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].


Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin 'Abdil 'Uzza bin Qushay Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu'anha.
Muslim manakah yang tidak pernah mendengar sebutan namanya?. Siapakah yang menyangka di saat itu,
keharuman peribadinya kelak akan merebak di sepanjang sejarah Islam di dada setiap kaum Muslimin?
Siapakah yang terfikir bahawa wanita mulia ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang tidak
pernah diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan? Siapakah yang menduga
bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia yang paling agung dalam rentang awal
perjalanan dakwahnya? Siapakah yang mampu meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang
telah menciptakan dan mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi akhir zaman.

Beliaulah isteri, sekali gus wanita pertama yang beriman kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu
Alaihi wa Sallam.  Dianugerahi reputasi yang sungguh mulia, keturunan yang terhormat, peribadi yang luhur,
perjalanan hidup yang istimewa, ketajaman daya fikir, semangat yang tinggi dan kalbu yang bening,
nama Khadijah begitu harum di dalam sejarah Islam. Sebelumnya, beliau dikenali sebagai seorang wanita
yang menjaga kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci) .

Beliau seorang janda dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin 'Ady at-Tamimi,
kemudian berkahwin dengan 'Atiq bin 'A`idz bin 'Abdillah bin 'Umar bin Makhzum. Khadijah radhiallahu anha
adalah wanita pedagang yang mulia dan banyak harta. Ternyata pekerjaannya itu telah menghantarkan kepada
pertemuannya dengan manusia yang paling mulia. Saat dia kembali menjadi janda, seluruh pemuda Quraisy
memasang angan-angan agar dapat menyuntingnya. Buah tutur Maisarah membeksa di hatinya tatkala berita
kejujuran, amanah dan kebaikan akhlak seorang pemuda Quraisy dikhabarkan kepada beliau. Tersimpan
keinginan yang kuat dalam dirinya untuk memperoleh kebaikan itu, hingga diutus seseorang untuk menemui
Rasululllah Sallallahu alaihi wa Sallam dan menyampaikan hasratnya. Ditawarkan dirinya untuk dipersunting
Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam, seorang pemuda yang saat itu berusia 25 tahun, miskin dan yatim
piatu tetapi tersohor kerana luhur peribadinya. Wanita jelita itu memperoleh kembali belahan hatinya dalam
usia 40 tahun. Tersurat peristiwa ini dalam sejarah 15 tahun sebelum Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam
diangkat sebagai Nabi akhirulzaman.

Wanita mulia inilah menjadi perawat duka suaminya di saat penurunan al-Haq melalui perantaraan
Jibril alaihi sallam yang menggoncang hati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. “Aku khuatir akan terjadi
sesuatu pada diriku”. Diselimutinya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sehingga beliau kembali tenang
dan hilang rasa ketakutannya. Dengan tenang dan lembut, beliau yang mengalirkan tutur kata penuh hikmah
dari lisannya lantas membiaskan ketenangan di dalam dada suaminya,

“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu.
Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang
(yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu,
bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.

Sesungguhnya beliau telah menjalankan peranan politiknya dengan ketajaman dan kepekaan
akalnya yang menjadikan beliau mampu untuk mencermati serta memahami dengan jelas masalah wahyu
dan risalah yang diterima oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam,

”Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hatimu! Demi Zat yang diriku di tanganNya,
sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini”.

Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang bakal dipikul
oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dengan turunnya wahyu tersebut.

”Khadijah, kalau engkau masih percaya kepadaku, sesungguhnya telah datang ”an-nams  al-akbar”
 kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”.

Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya, tetapi juga Utusan Allah dalam
menyampaikan wahyu dan risalahNya untuk umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat.

Di sinilah titik mula kepada sebuah pengorbanan yang tiada surut dan gantinya. Beliau jugalah manusia
pertama yang solat di belakang Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersama Saidina Ali radhiallahu anhu.
Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu
Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah sebagai
angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat yang dilontarkan kepada suamninya, beliaulah
yang setia di sisi baginda dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu manusia
terpilih.

Bukan hanya itu sahaja kebaikan Khadijah radhialllahu anha. Beliau mengorbankan setiap harta yang
dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menampakkan rasa senangnya
pada Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan hamba itu kepada suaminya.
Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat di sisi Rasulullah dengan menjadi anak angkat baginda sendiri.
Turut tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf pertama yang mengimani dakwah
Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.

Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam
untuk selalu giat berdakwah, bersemangat dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan
beban berat di bahu Rasulullah. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan Khadijah tidak pernah lepas
dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri
yang mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi Allah ini. Betapa kasihnya baginda terhadap Khadijah
sebagaimana di buktikan dari penceritaan Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha.

“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebagaimana
cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah Sallallahu alaihi wa
Sallam selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya
kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua?
Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”.
Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menyebut, “Tidak! Demi Allah !Dia Subhanahu wa Ta’ala tidak
memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepadaku pada
saat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakanku.
Khadijah  membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dariku
dan Allah mengurniakanku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan memberikan
pembelaan terhadap baginda. Beliau juga bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul
penderitaan lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda. Kesabaran dan
keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah
dalam fasa pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama
ini menjadi pelindung kepada Rasulullah.

Wanita Teladan Sepanjang Zaman

Ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Khadijah
radhiallahu anha kembali kepadaNya di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan
kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, berlaku dalam selang
waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut,
hambatan-hambatan dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani
dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.

Sesungguhnya nama Khadijah tercatat di dalam sirah sebagai wanita pilihan sehingga namanya disebut-sebut
di kalangan penduduk langit dan bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia. Tatkala
Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengatakan,

“Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Ini dia Khadijah. Dia akan datang membawa bejana berisi
makanan atau minuman. Bila ia datang kepadamu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dariku,
dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari mutiara, yang tak ada
keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”. Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya:
“Allah Maha Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali keselamatan. Semoga
keselamatan atas Malaikat Jibril.”
[HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah! Sesungguhnya istana tersebut adalah jauh lebih baik dari pada
gemerlapnya dunia fana yang telah memperdayakanmu. Dan ini adalah sebaik-baik khabar
gembira dibandingkan dunia dan segala isinya. Tidakkah kalian ingin mendapatkannya pula?

Ya Allah! Betapa mulianya Khadijah binti Khuwailid, As-Sayyidah Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di jalan deenNya dengan seluruh apa
yang dimilikinya dari perbendaharaan dunia. Semoga Allah memberikan balasan yang paling baik kerana
jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya.





.



3 comments:

Aqilah Azmi said...

memang banyak sangat sangat sumbangan dan jasa diorang kan <333333 subhanallah :D

Aqilah Azmi said...

terima kasih tau abg wan share ni. qila ingat ingat lupa je ni hihi

♥ Nana BamBam ♥ said...

Subhanallah, Allahumma Solli'ala Saiyyidina Muhammad...Begitu hebatnya wanita yang bernama saiditina Khadijah ini..